Tuesday, June 24, 2008

ORGANISASI PEMBELAJARAN

Organisasi Pembelajaran

Organisasi pembelajaran merujuk organisasi yang mempunyai lima komponen yang penting iaitu Pemikiran Berasaskan Sistem, Pemantapan Pengetahuan dan Kemahiran Personal , Model Mental , Perkongsian Visi dan Pembelajaran Berpasukan (Senge, 1994)

a) Pemikiran Berasaskan Sistem (System Thinking)

Ia merujuk kepada rangka intergratif yang membantu pekerja organisasi memahami hubungan antara komponen sistem utama dalam organisasi atau lebih mudahnya pemikiran berasaskan sistem. Semua ahli dalam organisasi menjadikan sistem sebagai asas dalam segala gerakkan dalam organisasi. Jika terdapat kepincangan dalam organisasi maka sistemlah yang akan dirujuk atau diberi penekanan. Pemikiran berasaskan sistem adalah alat yang penting dalam pembelajaran organisasi, ia juga rangka kerja konseptual yang dapat menjelaskan kekaburan dan pertikaian seterusnya membantu menghasilkan perubahan – perubahan baru yang lebih efektif.

b) Pemantapan Pengetahuan dan Kemahiran Personal (Personal Mastery)

Ia merujuk kepada visi kendiri secara mendalam dan mewujudkan persekitaran yang menyokong pembangunan personal. Organisasi membantu ahlinya yang telah mahir atau pakar menambahkan kepakarannya dan kemahirannya dengan memberi banyak ruang dan peluang yang perlbagai dalam memantapkan pengetahuan dan kemahirannya. Hal ini akan membatunya menjadi lebih mahir dan pakar dan berguna untuk diri dan organisasi.

c) Model Mental (Mental Model)

Ia merujuk kepada kepercayaan, andaian dan persepsi yang mempengaruhi pemikiran dan tingkahlaku ahli organisasi. Situasi di mana persekitaran dalam organisasi menyokong kepada kewujudan aktiviti pembelajaran dalam organisasi tersebut seperti dari segi kelengkapan dan kemudahan. Model mental juga adalah merupakan imej atau pandangan ahli organisasi terhadap sesuatu peristiwa, situasi, aktiviti atau konsep. Model mental mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam pelbagai situasi adalah berbeza dari individu serta ia adalah sukar untuk diubah.

d) Perkongsian Visi (Building Shared Vision)

Ia merujuk kepada pembentukan perasaan yang menyokong kepada komitmen dan kerjasama yang menyokong ke arah pencapaian matlamat. Keadaan di mana keseluruhan organisasi bersama – sama menuju dan berpegang untuk mencapai satu matlamat yang sama. Matlamat atau visi ini berupaya untuk mengalakkan inovatif dan eksperimen. Dengan wujudnya perkongsian dan visi yang sama, ia akan menarik minat individu untuk berjaya dan belajar dengan ikhlas. Perkongsian visi adalah penting bagi sesebuah organisasi kerana ia akan mewujudkan fokus dan kuasa untuk belajar.

e) Pembelajaran Berpasukan (Team Learning)

Ia merujuk kepada keupayaan pekerja organisasi belajar bersama – sama, membentuk dan membangunkan kebolehan yang ada pada kumpulan tersebut untuk mencapai kehendak atau keinginan mereka. Ia membantu dalam pembinaan penguasaan personal dan perkongsian visi. Setiap ahli organisasi perlu sama -sama bergerak untuk mendapatkan keputusan yang diingini. Secara kontras, apabila sesebuah kumpulan adalah serasi dan seragam, maka ia akan mewujudkan keharmonian dan visi adalah lebih mudah untuk dicapai. Pembelajaran berkumpulan membolehkan pemikiran secara kritis tentang isu –isu yang kompleks.

No comments: